Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
GADONG, Isnin, 17 November. - Seramai 41 pekerja binaan warga Republik Indonesia menamatkan Kursus Pertolongan Cemas di Tempat Kerja anjuran Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA), di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), dengan kerjasama Kedutaan Besar Republik Indonesia di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Majlis Penyampaian Sijil kepada para pekerja binaan berkenaan diadakan petang tadi di Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif SHENA, Awang Haji Muhsin bin Haji Ahmad, dalam ucapannya berkata, sektor pembinaan telah mencatatkan sebanyak 52 kematian akibat kerja daripada 85 kes secara keseluruhan sejak 2013 yang menyumbang kira-kira 61 peratus daripada keseluruhan kematian di tempat kerja di NBD.
Jelasnya, punca utama termasuk jatuh dari tempat tinggi, terkena objek, kecederaan akibat himpitan dan renjatan elektrik.
"Sektor pembinaan juga terus mencatatkan bilangan kecederaan yang boleh dilaporkan tertinggi, dengan 48 kes pada 2024 dan 54 kes pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 12.5 peratus.
“Data ini menunjukkan bahawa warga Republik Indonesia dan Republik Rakyat Bangladesh membentuk hampir 60 peratus daripada semua kejadian di tempat kerja yang dilaporkan, yang mencerminkan kehadiran ketara dalam sektor berisiko tinggi.
"Warga Republik Indonesia membentuk sebahagian besar tenaga kerja pembinaan NBD dan memainkan peranan penting dalam pembinaan negara," ujarnya.
Oleh itu, beliau menekankan kepentingan program berkenaan dalam memupuk kesedaran terhadap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, khususnya dalam kalangan pekerja asing dalam sektor pembinaan, serta memberikan mereka pengetahuan dan kemahiran pertolongan cemas.
Awang Haji Muhsin turut merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Besar Republik Indonesia di NBD atas sokongan dan kerjasama padu dalam menjayakan program CSR ini, dan kepada majikan-majikan yang mengambil bahagian kerana mengutamakan keselamatan dan kebajikan pekerja mereka.
Beliau seterusnya menggalakkan syarikat-syarikat untuk terus menyediakan latihan pertolongan cemas untuk para pekerja mereka seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Keselamatan dan Kesihatan (Pertolongan Cemas), 2021, di Tempat Kerja.
Hadir pada majlis berkenaan, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Indonesia ke NBD, Tuan Yang Terutama Prof. Dr. Achmad Ubaedillah.
Turut hadir, ahli-ahli pihak pengurusan kanan SHENA, pegawai-pegawai dari SHENA dan Kedutaan Besar Republik Indonesia di NBD; serta wakil-wakil dari syarikat-syarikat yang menyertai program berkenaan dan penyedia latihan tersebut.
Kursus Pertolongan Cemas berkenaan telah dijalankan sebanyak tiga sesi, iaitu pada 23 dan 24 Oktober 2005, 1 dan 2 November 2025, serta 8 dan 9 November 2025, oleh SavingLife Resources Company, selaku penyedia latihan yang diluluskan di bawah SHENA.
Kursus berkenaan bertujuan untuk meningkatkan pemahaman para peserta tentang keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, serta membekalkan peserta dengan kemahiran asas pertolongan cemas bagi menangani kecederaan serius dan menyelamatkan nyawa.
Kursus Pertolongan Cemas Pekerjaan CSR berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SHENA untuk memupuk budaya mengutamakan keselamatan merentasi semua industri serta memastikan setiap pekerja pulang dengan selamat setiap hari.